CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, May 29, 2012

Hanya kerana seorang lelaki tua~


Pisang goreng dimulutnya tercampak keluar apabila kereta di hadapannya berhenti secara tiba-tiba.

Apahal nih.. Ada sedikit kemarahan dihatinya.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua yang berbasikal melintas dihadapan kereta dihadapannya. Berkopiah, berkain pelikat sambil dilehernya dililitkan kain bercorak kotak-kotak menutup bahu dan separuh paras dadanya. 

Natasha memandang lelaki tua itu mengayuh basikalnya dengan tenang. Dan tersentak tatkala memandang wajah yang dirasakan amat tenang dan bersih yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. 

Ke masjid agaknya. 

Bisiknya dalam hati. 

Jam dikilas. Oh, sudah hampir waktu Magrib.

Natasha kembali menyambung pemanduannya apabila kereta dihadapannya mula bergerak semula. Namun dia masih tidak dapat berhenti memikirkan tentang lelaki tua yang berbasikal itu tadi.  

Siapakah dia?

Inilah  jalan yang sering digunakannya setiap hari namun kelibat lelaki tua itu tidak pula pernah dilihat sebelum ini. Berkerut-kerut dahinya memikirkan hal itu.

Tangan kirinya meraba-raba di dalam bungkusan hitam sambil mencari pisang goreng yang masih berbaki. Lapar sungguh setelah berhempas pulas di pejabat menyiapkan segala tugasan yang diberikan kepadanya sehingga tidak menjamah apa-apa sejak tengahhari tadi.  Tangan kanannya pula cekap mengawal stereng kereta. Sambil mengunyah, Natasha tetap masih tidak dapat memadamkan wajah orang tua itu dari ingatannya.

Perwatakan lelaki tua itu benar-benar menenangkan Natasha. Raut wajah yang bersih dan kayuhan yang tenang menunjukkan betapa lelaki tua itu langsung tidak menghiraukan keadaan hiruk pikuk bunyi hon kenderaan yang lalu lalang dijalanraya. 

Barangkali dia ingin segera sampai ke destinasi yang dituju. Menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba yang patuh kepada Penciptanya.

Otak Natasha masih ligat mencari siapakah gerangan lelaki tua misteri itu. Dimanakah anak-anaknya? Sanggup membiarkan orang tua itu mengayuh basikal tuanya seorang diri ke masjid? Apakah tiada masa untuk mereka menghantar ayahnya ke masjid? Atau adakah mereka terlalu sibuk hingga lupa akan ayahnya yang seorang itu?

Astagfirullahalazim!

Natasha mengucap. Sungguh jauh andaiannya terhadap kehidupan lelaki tua itu. Segera dia teringatkan abahnya dikampung. Sebak menguasai diri. Baru tersedar yang dia juga adalah seorang anak!

Adakah aku diantara anak itu? Adakah aku lupa akan abahku? Adakah aku diantara anak yang melupai jasa kedua ibu bapaku?

Tidak! Aku kesini mencari rezeki. Membantu keluarga dikampung disamping membalas jasa kedua-dua ibu bapaku. Aku tidak lupakan mereka. Aku masih anak mereka! Aku tetap mendoakan mereka siang dan malam. Juga aku tidak lupa mengirim wang untuk kegunaan mereka. Jeritnya dalam hati.

Airmata Natasha tiba-tiba menitis. Sebak benar dirasakan di dadanya. Apa yang dirasakan kini hanya kesedihan. Terbayang wajah ibu dan bapanya nun jauh di sana. Adakah aku benar melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak?

Pisang goreng yang dikunyahnya tadi dirasakan kelat. Perasaaannya bercampur baur.

Adakah aku anak yang lupa akan tanggungjawab? 
Adakah aku tergolong dikalangan anak derhaka? Atau adakah aku cukup membahagiakan mereka? 
Terbalaskah pengorbanan mereka selama ini yang membesarkanku, memberi segala kasih sayang kepadaku sehingga aku mampu berada di tahap ini?

Semakin laju airmatanya jatuh.

Ya Allah, jika aku bukan anak yang baik, ampunkan aku. Jika aku masih belum cukup membahagiakan mereka, berilah ruang untukku dan limpahkan rahmatmu kepada kedua ibu bapaku. Doa Natasya dalam hati.

Airmatanya dikesat. Sesampainya dirumah dan membersihkan diri, azan Magrib berkumandang menandakan masuknya waktu solat Magrib bagi kawasan yang sewaktu dengannya. Telekung putih berbunga biru pemberian ibunya dicapai dan disarungkan.

Selesai menunaikan solat, Natasya duduk berteleku di atas sejadah. Airmatanya menitis lagi.  Wajah lelaki tua itu masih terbayang dimatanya. Bersilih ganti dengan wajah abah kesayangannya. Segera Natasha menadah tangan.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dan kedua-dua ibu bapaku. Serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku diwaktu kecil. Amin ya rabbal alamin…

Ya Allah, Kau ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku, Kau berkatilah mereka, Kau limpahilah rahmatMu keatas mereka, Kau berilah kesihatan yang baik untuk mereka, Kau lindungilah mereka selama aku disini dan dari anasir-anasir jahat, dan Kau bahagiakanlah mereka. Sesungguhnya tidak terbalas jasa mereka yang menjagaku sejak dari ku melihat dunia hingga kini.

Ya Allah, ku mohon kepadamu berilah limpah kurniaMu dan kegembiraan kepada mereka, serta tempatkanlah  mereka di syurgaMu. Sesungguhnya, hanya kepadaMu aku memohon. Amin~

No comments:

Post a Comment